Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara Dilancarkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara bagi mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Dasar 4IR Negara digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi, selain mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dasar itu mengandungi empat teras utama yang menyasarkan tiga kumpulan, iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Beliau menjelaskan, teras berkenaan melengkapi rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran 4IR, membentuk negara yang ada kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital, menyediakan peraturan sesuai dengan keperluan masa depan agar fleksibel terhadap perubahan teknologi, serta mempercepatkan inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

“Empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

“Teras ini akan dilaksana berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang dikenal pasti.

“Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar 4IR Negara yang turut disempurnakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, secara maya, hari ini.

Mustapa berkata, Dasar 4IR Negara bukan saja membabitkan penambahbaikan terhadap inisiatif sedia ada, malah memuatkan beberapa usaha baharu meliputi empat bidang tumpuan, iaitu modal insan, infrastruktur, peraturan dan inovasi.

Walaupun 4IR dilihat memberi cabaran penggantian tenaga kerja disebabkan automasi, penggunaan robot dan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, tetap ada potensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta kualiti kehidupan.

“Peranan teknologi dalam meningkatkan kualiti kehidupan dan pertumbuhan ekonomi negara memang tidak dapat dinafikan.

“Pandemik COVID-19 memberi kesan dan mengubah cara kehidupan masyarakat, seterusnya memerlukan kerajaan, perniagaan dan rakyat mengadaptasi teknologi serta pendigitalan bagi mempermudah urusan dalam norma baharu,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, Dasar 4IR Negara melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 yang membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Beliau berkata, MOSTI sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju bagi memastikan transformasi 4IR meliputi semua aspek kehidupan serta industri.

Antaranya, pembangunan teknologi elektrikal dan elektronik, vaksin, ‘blockchain’, ekonomi hidrogen, teknologi nano, AI, robotik, bahan termaju, pengkomersialan, inovasi serta ekonomi

“Melalui inisiatif ini, strategi dirangka akan membabitkan semua pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran masa depan, sejajar teras 4IR yang merentasi domain digital, fizikal dan biologi ke arah mencapai status negara maju berteknologi tinggi.

“Dasar 4IR Negara adalah komitmen kerajaan mempersiapkan masyarakat dan perniagaan untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang terbit daripada revolusi perindustrian ini,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *