Dana Bantuan Bakul Makanan Disalurkan Hari Ini

KUALA LUMPUR – Dana RM300,000 Bantuan Bakul Makanan untuk setiap kawasan Parlimen mula diagihkan hari ini.

Program itu dipertingkat bagi memenuhi keperluan golongan terkesan dengan wabak COVID-19, susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Isnin lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, berkata tambahan program itu membabitkan agihan peruntukan kepada semua 222 Ahli Parlimen.

“Peruntukan ini bagi memperkasa program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara.

“Peruntukan ini disalurkan kepada semua Ahli Parlimen bermula hari ini.

“Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya.

Pada November lalu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang akibat sakit jantung.

Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Liew Vui Keong, 60, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu, Sabah, pada Oktober lalu.

Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor mengumumkan Pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *