4IR Dijangka Tingkatkan 30 Peratus Produktiviti

KUALA LUMPUR – Kemunculan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dijangka dapat meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus merentasi semua sektor menjelang tahun 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, untuk mencapai sasaran tersebut dan mengoptimumkan manfaat daripada 4IR, kerajaan telah merangka Dasar 4IR Negara.

Jelas beliau, dasar ini mengandungi hala tuju yang mencakupi semua aspek bagi mempersiapkan negara untuk menguasai 4IR.

Katanya, 4IR melibatkan transformasi dalam keseluruhan ekosistem, merentas syarikat, industri, masyarakat dan negara.

“Ia memberikan penekanan dan membentuk cara sesuatu teknologi dan masyarakat boleh wujud secara bersama dan menyumbang kepada satu sama lain.

“Dasar 4IR Negara berfungsi untuk membantu memanfaatkan inovasi dan penggunaan teknologi 4IR secara beretika untuk perubahan sosioekonomi yang strategik,” katanya dalam perutusan yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Ia bersempena pelancaran Dasar4IR Negara yang dilancarkan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara maya hari ini.

Kata Mustapa lagi, Dasar 4IR Negara akan melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021.

“Kedua-dua dasar dan rangka tindakan ini akan bertindak sebagai panduan kepada rakyat untuk memanfaatkan potensi 4IR.

“Struktur tadbir urus yang dipimpin oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara juga telah diwujudkan untuk memacu dan memastikan pelaksanaan inisiatif yang berkesan, yang merangkumi pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai 4IR, Mustapa berkata, ia adalah gabungan teknologi merentas alam fizikal, digital dan biologi.

Menurutnya, ia berkembang secara pesat hasil daripada keterbukaan dan kesalinghubungan dunia.

Sementara itu Khairy Jamaluddin berkata, Dasar 4IR Negara merupakan komitmen kerajaan dalam merealisasikan revolusi digital pada hari ini.

Kata beliau, dasar ini akan memacu usaha untuk melaksanakan agenda 4IR melalui transformasi teknologi bagi pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara.

Menurutnya, dasar yang dibina berdasarkan pendekatan menyeluruh negara melalui kerjasama rakyat-swasta-awam ini akan menangani cabaran serta mengoptimumkan peluang era digital berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Dasar 4IR yang komprehensif diperlukan untuk menyedia serta melengkapkan rakyat dengan set pengetahuan dan kemahiran 4IR, di samping meningkatkan lagi produktiviti tenaga kerja.

“Laporan Bank Dunia menunjukkan kemahiran manusia kini semakin digantikan dengan produktiviti yang dipacu oleh teknologi. Ini tidak dapat dielakkan kerana bahan dalam bentuk digital dan automasi kini merupakan elemen penting dalam pekerjaan,” kata beliau.

Oleh itu, kata Khairy Jamaluddin adalah penting bagi tenaga kerja hari ini untuk memanfaatkan teknologi 4IR dan melaksanakan inovasi digital untuk berkembang maju dalam persekitaran kerja yang pesat berubah.

Katanya, Dasar 4IR Negara juga dijajarkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.

Sehubungan itu, Dasar 4IR Negara akan turut memacu aspirasi DSTIN 2021-2030 dalam mewujudkan ekosistem yang melibatkan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

“Dasar ini juga akan memudah cara pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang aplikasi teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan blockchain.

“Melalui pengenalan dasar ini, daya saing negara akan terus dipertingkat melalui peningkatan produktiviti dan penerimagunaan teknologi baharu untuk kemajuan industri,” katanya.

Kata beliau, walaupun 4IR lebih menjurus kepada teknologi disruptif, dasar ini turut menggariskan beberapa strategi yang akan mengimbangi keperluan mencapai kemajuan teknologi dan menyelesaikan masalah sosial.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *