Renjatan kilat : Emosi tiga beradik stabil, sudah keluar hospital

 

HULU TERENGGANU: Tiga beradik yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu akibat terkena renjatan kilat sudah dibenarkan pulang, lewat petang semalam.

Ibu mereka, Suhasniza Sahaimi, 39, berkata, ketiga-tiga anaknya iaitu Nur Anis Nabihah Mohd. Zammil, 17; Adam Rifqi, 10; dan Muhammad Zafran Rayqal, 7, tiba di rumah kira-kira pukul 9 pagi ini selepas bermalam di rumah nenek mereka di Kuala Terengganu.

“Syukurlah anak-anak sudah dibenarkan keluar hospital pada pukul 6 petang semalam dan emosi mereka juga stabil cuma Nur Anis Nabihan masih lagi merasa sakit serta lemah semangat.

“Insiden itu turut menyebabkan saya takut untuk memasak apatah lagi memegang sudip kerana terbayang kejadian kelmarin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan tiga beradik yang tekun mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terkena renjatan kilat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang kelmarin, turut mengalami nasib sama ialah sepupu mereka, Nur Salwana Najihah Abdullah, 16, serta Suhasniza yang ketika itu memasak di dapur di bahagian luar kediamannya di Kampung Kuala Por di sini.

Suhasniza berkata, bagi mengurangkan rasa sakit terkena renjatan kilat dia turut menggunakan daun kelembang yang ditampal pada badan sebagai rawatan alternatif, malah dapur memasak turut dipindahkan ke tempat lain.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengurusan sekolah yang prihatin dengan tragedi menimpa keluarganya.

Kredit : Utusan Online

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *