Prospek pertumbuhan PKS dijangka pulih tahun ini

 

PETALING JAYA: Prospek pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka kembali pulih dengan perlahan-lahan pada 2021 selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion yang diumumkan beliau kelmarin bukan sahaja membantu merangsang ekonomi negara tetapi untuk memberi manfaat kepada komuniti PKSPemulih

Muhyiddin berkata, antara fokus Pemulih bertujuan untuk menyokong perniagaan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan fasilitasi pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian

“Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 akan dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan. Adalah dijangkakan prospek pertumbuhan PKS akan kembali pulih perlahan-lahan pada tahun 2021 selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

“Selain pakej rangsangan yang telah diumumkan tersebut, kerajaan turut melaksanakan inisiatif tambahan yang bertujuan untuk memudahcara perniagaan khususnya di kalangan PKS termasuk enterpris mikro,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran  Portal MyAssist MSME dan Perasmian Minggu PKS Kebangsaan 2021 secara dalam talian hari ini.

Ucapan itu dibuat menerusi rakaman awal.

Perdana Menteri berkata, PKS adalah merupakan tulang belakang ekonomi negara apabila ia membentuk sekitar 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan di negara ini yang wujud di setiap lapisan sektor.

Katanya, sumbangan PKS pada 2019 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 38.9 peratus serta menyumbang sebanyak 17.9 peratus kepada eksport negara dengan secara keseluruhannya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta orang.

“Seperti yang kita sedia maklum, pandemik Covid-19 yang melanda sejak akhir tahun 2019 telah memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan, kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia.

“Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pandemik ini yang telah menyebabkan pertumbuhan PKS pada tahun 2020 di negara ini diunjurkan menguncup pada kadar 5.4 peratus.

“Oleh demikian, kerajaan menyedari bahawa adalah amat penting supaya langkah-langkah bagi menangani kesan pandemik dilakukan segera sebagai pemangkin yang dapat membantu untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Portal MyAssist MSME merupakan platform digital kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara dalam talian sejajar amalan norma baharu dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 melanda negara dan global.

Justeru, beliau berkata MyAssist MSME merupakan satu platform digital yang dibangunkan pada waktu sangat tepat apabila masyarakat kini harus mengurangkan pertemuan bersemuka atau secara fizikal dan suatu solusi norma baru bagi keperluan fasilitasi perniagaan di bawah ‘One Stop Centre.

“Pandemik Covid-19 ini juga telah menyedarkan kita bahawa untuk maju, kita harus melepaskan diri dari keadaan normal dan mengembangkan pelbagai langkah mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi kita. Ia bukan lagi “business as usual”, inilah masanya untuk idea baharu, inilah masanya untuk berinovasi.

“Dengan pembatasan pergerakan dan pertemuan manusia secara fizikal, ianya menyebabkan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekali gus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat.

“Pendigitalan merupakan elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. Oleh itu, usahawan tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau kemudian meminta para usahawan perlu berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, agar mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *