KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program keagamaan bagi memastikan rakyat tidak terus terhimpit dengan gangguan emosi akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, antara aktiviti yang digerakkan termasuk Hari Munajat Rakyat secara dalam talian pada setiap Khamis dan Jumaat dengan menampilkan penceramah ternama Terengganu.
Katanya, peranan media sosial terus dimanfaatkan menerusi penganjuran kuliah duha dan maghrib harian dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan ilmu agama.
Di samping itu menurutnya, talian hotline untuk kaum wanita turut dibuka melalui Urus Setia Wanita Terengganu (Uswa) bagi membolehkan golongan berkenaan meluahkan masalah yang dihadapi.
“Sebelum ini ramai wanita mengadu nasib di samping meminta cadangan pusat penempatan untuk masalah ketagihan dadah, pusat perlindungan bagi kes keganasan rumah tangga, isu hamil luar nikah dan pelbagai lagi masalah yang membelenggu diri.
“InsyaAllah agensi kerajaan akan berusaha membantu kaum hawa di negeri ini agar nasib mereka terbela dan dapat keluar daripada kemelut berpanjangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nor berkata, mana-mana rakyat yang berdepan masalah boleh berhubung dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membantu mencari penyelesaian terbaik.
Kredit : Utusan Online