605 kompaun langgar SOP di Terengganu

 

KEMAMAN – Sebanyak 605 kompaun termasuk 85 terhadap syarikat dan kilang di Terengganu atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikeluarkan sejak awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kompaun yang berjumlah keseluruhan RM1.569 juta tersebut merupakan hasil pemeriksaan 62,727 premis termasuk kilang di seluruh negeri ini.

“Sebanyak 605 kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tersebut dikeluarkan terhadap 85 syarikat manakala selebihnya kepada individu.

“Antara kesalahan yang sering dikesan ialah gagal mematuhi penjarakan satu meter (23.64 peratus), tidak memakai pelitup muka (20.80 peratus) dan tidak mendaftar masuk premis menggunakan MySejahtera dan buku log (19.83 peratus),” katanya di Kawasan Perindustrian Kerteh dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas mengikuti Operasi Bersepadu Inter-Agensi Penguatkuasaan PKP 3.0 bersama Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.

Nor Azimi berkata, kesalahan lain yang dilakukan di premis perniagaan ialah bilangan pekerja melebihi 60 peratus dan berkumpul beramai-ramai pada waktu makan serta rehat yang dkhuatiri mencetuskan penularan wabak Covid-19.

Tambah beliau, kompaun pelanggaran SOP PKP tersebut paling banyak dikeluarkan di daerah ini.

“Sepanjang PKP penuh ini sahaja, 127 kompaun termasuk 80 terhadap premos perniagaan dan kilang dikeluarkan di Kemaman dengan jumlah kompaun dikeluarkan RM936,000,” katanya.

Kredit :Kosmo ! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *