Gajah jantan buat onar dipindah ke habitat asal

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri hari ini memindahkan seekor gajah liar yang  merosakkan tanaman serta menceroboh Ladang Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), Meranto di sini minggu lalu.

Pengarah Perhilitan negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi pemindahan gajah jantan berusia 15 tahun itu ke habitat asalnya di hutan berdekatan dilakukan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Menurut beliau, seramai 12 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan 19 orang kakitangan Jabatan Perhilitan negeri terbabit dalam operasi itu.

“Kami menggunakan dua gajah bernama Kasturi dan Rambai yang bertindak sebagai ‘denak’ bagi menjinakkan gajah liar terbabit sebelum dipindahkan ke habitat asalnya.

“Gajah liar ini sihat dan tiada  kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ady Ermanty Haniff berkata, terdahulu, pihaknya  menangkap gajah itu pada pukul 8 pagi, Rabu lalu berhampiran kawasan Klinik Kesihatan Meranto.

Katanya, tangkapan gajah liar tersebut melegakan penduduk di sekitar Kampung Meranto dan ladang berhampiran kerana ia dapat mengelakkan kerugian dialami akibat kemusnahan tanaman dan harta-benda.

“Gajah liar ini dipercayai daripada kumpulan gajah Meranto yang habitatnya adalah di hutan simpan berdekatan iaitu di Hutan Simpan Kekal Stong Tengah dan Hutan Simpan Kekal Berangkat,” katanya.-

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *