Kerajaan peruntuk RM700 juta untuk insfrastruktur digital di Kelantan

 

MACHANG – Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM700 juta untuk meningkatkan infrastruktur digital di Kelantan dari tahun 2020 sehingga 2022.

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia melibatkan kerja menaik taraf 1,232 menara telekomunikasi, membina 85 menara telekomunikasi baharu dan meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi ke 54,904 buah premis.

Menurutnya, sebanyak 18 buah menara telah siap dibina pada April dan Mei lalu iaitu satu di Jeli, Tanah Merah (1), Gua Musang (2), Machang (4), Bachok (2), Pasir Putih (1) dan Pasir Mas (7).

“Kesemua menara ini berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan kampung-kampung.

“Apabila semua projek ini siap dilaksanakan, status liputan 4G akan mencapai 96.3 peratus pada tahun 2022. Sehingga kini terdapat 1,245 buah struktur menara selular di seluruh negeri ini yang meliputi 93.15 peratus untuk perkhidmatan 4G, 95.98 peratus (3G) dan 97.14 peratus (2G),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebit, di sini hari ini.

Yang turut  hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh.

Dalam lawatan tersebut, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kelantan, Abdul Mubin Mohd Zain serta wakil-wakil syarikat telekomunikasi, Maxis, Celcom, Digi dan UMobile turut memberikan taklimat ringkas mengenai pembinaan serta fungsi menara telekomunikasi baharu itu.

Menara telekomunikasi Kampung Kubang Tebik ini mampu memberia liputan 4G dalam radius dua kilometer dan memanfaatkan lebih 600 penduduk.

Sebelum ini kawasan kampung itu tidak mendapat liputan internet mudah alih dan menara ini akan menempatkan pemancar syarikat telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom dan UMobile.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, Kerajaan akan mentransformasikan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara termasuk 70 buah pusat di negeri ini sebagai pusat sehenti untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menguasai dunia digital.

“Pusat ini akan menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan digital serta khidmat nasihat.

“PIK di seluruh negeri ini mempunyai lebih 65,000 ahli berdaftar dan hampir 240,000 orang telah menyertai program latihan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, pandemik COVID-19 ini telah menyedarkan semua pihak tentang kepentingan pendigitalan termasuklah anak-anak yang memerlukan akses kepada internet dan peranti digital untuk mengikuti kelas secara dalam talian atau lebih dikenali dengan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Kita membaca beberapa kisah di media bagaimana pelajar di kawasan luar bandar berhadapan dengan kesukaran untuk mengikuti kelas ini dan masalah ini perlu ditangani.

“Justeru, Kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, di bawah agenda MyDIGITAL untuk memastikan pendigitalan dapat direalisasikan di seluruh negara dan salah satu tumpuan utama ialah meningkatkan infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) ,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan infrastruktur digital merupakan tulang belakang dalam membangunkan sebuah ekosistem digital yang mampan dan usaha-usaha berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan objektif MyDIGITAL tercapai.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *