‘Saya belanja jika tak mampu beli durian’

 

KUANTAN – “Jika ada yang teringin nak makan durian tapi tidak mampu, datang dan bagi tahu, saya ikhlas sedekahkan sebiji dua untuk mereka,” kata seorang peniaga durian, Azizon Awang, 45, ketika ditemui di gerai duriannya di Jalan Tanjung Lumpur-Kempadang di sini semalam.

Dia yang sudah berniaga raja buah itu sejak kira-kira 10 tahun lalu, mengakui wabak Covid-19 sangat memberi kesan kepada ramai orang termasuk peniaga kecil-kecilan sepertinya.

Justeru katanya, dia berasa simpati kepada orang ramai yang terjejas teruk sehingga terputus sumber pendapatan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Sekurang-kurangnya saya masih ada sedikit modal teruskan berniaga. Saya tahu ramai yang hilang sumber pendapatan, kerja dan berdepan tekanan dari segi kewangan sejak pandemik dikesan.

“Tidak mengapalah, kalau ada yang memang tidak mampu dan rasa nak makan durian, datang jumpa saya, saya sedekah untuk mereka,” katanya.

Azizon yang memulakan perniagaan pada pukul 3 petang hingga 7 malam setiap hari memberitahu, pada masa ini bekalan durian diperolehinya dari pembekal di Segamat, Johor.

Katanya, jualan durian pelbagai jenis seperti Musang King, IOI dan durian kampung yang dijualnya pada harga berpatutan mendapat sambutan yang baik walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bekalan durian biasanya sampai sekitar pukul 2 petang, jadi saya mula menjual pukul 3 petang dan boleh dikatakan sebelum pukul 7 petang semua­nya sudah habis,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Azri Zainal,40, berkata, tindakan Azizon menawarkan durian percuma kepada mereka yang tidak mampu, patut mendapat pujian dan dicontohi peniaga lain.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *