Sanggup lari ke Thailand elak dicekup

 

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 1.36 tan minyak masak paket yang cuba diseludup ke negara jiran di pangkalan haram Pok Mat di sini, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 9.10 malam itu, PGA turut merampas 500 paket tepung gandum yang dipercayai akan dijual dalam pasaran negara tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sewaktu melakukan rutin rondaan di kawasan itu, anggota PGA melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari tebing Sungai Golok ke dalam perahu.

Katanya, apabila menyedari kehadiran anggota PGA, mereka terus melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu tersebut.

“Pemeriksaan di lokasi itu telah menemui pelbagai kotak yang mengandungi 1.36 tan paket minyak masak dan 500 paket tepung gandum.

“Nilai keseluruhan rampasan kedua-dua barangan bersubsidi itu dianggarkan berjumlah RM6,940,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Azhari memberitahu, pihaknya juga berjaya merampas 144 paket gula dan 170 paket minyak masak dalam serbuan berasingan di pangkalan haram Pok Kob, Simpangan, Tumpat pada pukul 4.30 petang, semalam.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *