Pelaburan syarikat pengeluar modul solar jangka beri peluang 3,000 pekerjaan

 

PUTRAJAYA: Pelaburan Syarikat Risen Energy Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan modul solar di negara ini dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan syarikat berkenaan melalui Risen Solar Technology Sdn. Bhd. berpangkalan di Republik Rakyat China itu untuk tempoh 15 tahun dari 2021 sehingga 2035.

Menurut beliau, syarikat itu diluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi aktiviti rekabentuk, pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar modules di Malaysia.

“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

“Ketika ini, terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat secara maya dengan Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, Xie Jian yang turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Perdana Menteri berkata, syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti atau institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship.

Dalam mesyuarat berkenaan, Muhyiddin turut berkongsi bahawa Kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.

“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *