Pendaftaran PICK di Kelantan meningkat 50 peratus

 

Kota Bharu: Pendaftaran bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kelantan meningkat 50 peratus, menjadikan 603,289 orang berdaftar, berbanding 1.2 juta penerima yang layak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pendaftaran terbabit dibuat menerusi pelbagai cara termasuk MySejahtera dan Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

Katanya, peningkatan itu disebabkan kesedaran orang ramai selain inisiatif sukarelawan yang masuk ke kampung untuk membantu penduduk membuat pendaftaran.

“Kita akan memperbanyakkan lagi program untuk memastikan penduduk di negeri ini berdaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin dalam masa terdekat.

“Sehingga semalam, 285,000 penduduk sudah menerima vaksin iaitu 196,784 bagi dos pertama dan 88,376 bagi dos kedua,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob.

Dr Zaini berkata, rekod setakat semalam juga menunjukkan Kelantan berada dalam kelompok 10 teratas negeri di Malaysia dari segi suntikan vaksin.

“Kita jangka jumlah itu akan terus meningkat dan berharap vaksin yang dijanjikan kerajaan sebanyak 550,000 dos pada Julai ini akan diperoleh mengikut jadual.

“Selepas mendapat vaksin itu, kita akan melakukan pelbagai cara untuk memberi vaksin kepada rakyat Kelantan termasuk menambah Program Outrech selain membuka lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Setakat ini, ada 18 PPV di seluruh Kelantan,” katanya.

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *