Ibu tunggal enam anak rayu bantuan peranti PdPR

 

JERANTUT: Seorang ibu tunggal di Perumahan Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan di sini memohon bantuan alat peranti atau komputer riba bagi meringankan bebannya menyediakan kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada enam orang anaknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu tunggal berkenaan, Azmah Kamaruddin, 38, berkata, dia begitu sukar menenteramkan serta menyelesaikan masalah enam anaknya yang sentiasa berebut dua alat peranti yang cuma dimiliki oleh keluarga tersebut.

“Kalau hendak makan bolehlah saya berikan nasi dan lauk-pauk kepada anak-anak, tetapi ketika PdPR kebetulan waktu (jadual) yang sama ditetapkan oleh guru, inilah saat menyukarkan saya untuk mengagihkan alat peranti ini kepada mereka.

“Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika ini sekatan pergerakan penuh (total lockdown) saya begitu sedih mengenangkan kesusahan kerana tidak mampu menyediakan kemudahan (peralatan) untuk anak-anak,” katanya di sini semalam.

Azmah berkata, enam anaknya yang berusia antara enam hingga 17 tahun begitu memerlukan kemudahan peralatan teknologi maklumat itu memandangkan kesemua mereka mengikuti PdPR setiap hari dan kerap kali berlaku jadual belajar yang serentak.

Menurutnya, bagi menyelesaikan perebutan dua alat peranti yang ada, dia melaksanakan sistem penggiliran kepada anaknya sewaktu PdPR.

“Saya beri kepada anak yang bermula lebih awal PdPR atau bergilir-gilir antara hari yang dijadualkan belajar secara Google Meet bersama guru.

“Namun saya terpaksa utamakan dua orang anak yang berusia 17 dan 15 tahun yang belajar di sekolah menengah kerana mereka mengikuti mata pelajaran yang penting dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Katanya, bahan bercetak yang disediakan oleh guru juga membantu sistem penggiliran penggunaan alat peranti sewaktu PdPR dalam kalangan anaknya.

Azmah yang tinggal serumah bersama bapa dan adik-beradik lain berkata, dia tidak mempunyai pendapatan tetap, cuma mengambil mana-mana peluang pekerjaan yang menawarkan upah harian di kawasan tempat tinggalnya.

“Pendapatan mengambil upah pekerjaan tidak menentu cuma RM250 sebulan, tetapi mujurlah ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM650 untuk empat orang anak bolehlah sikit saya ‘bernafas’, itupun masih tidak mencukupi, hanya cukup makan.

“Belanja keperluan dapur secara berjimat hanya mampu RM300, peruntukan persekolahan anak sebelum ini (PKP) cuma RM400 dan selebihnya RM200 untuk keperluan lain. Mana saya mampu untuk berbelanja alat peranti mahupun komputer riba bagi kemudahan anak mengikuti PdPR,” katanya.

Azmah berkata, dia berharap kerajaan dan dermawan dapat membantu peralatan berkenaan kerana amat memerlukan serta mengutamakan keselesaan anak belajar dan tidak perlu berebut lagi.

Orang ramai boleh menyumbang alat peranti dan komputer riba dengan menghubungi Azmah menerusi talian 01124813868 atau sumbangan terus ke akaun bank CIMB bernombor 7064790485 (Azmah).

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *