Pura-pura beli rokok dan air sebelum samun

Dungun: Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli rokok dan air sebelum melarikan lima tabung derma dalam satu kejadian samun di sebuah kedai di Paka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, suspek hanya mengambil masa seminit untuk melarikan lima tabung derma berkenaan membabitkan kerugian hampir RM500.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila pembantu kedai berusia 19 tahun yang bersendirian di premis itu didatangi suspek yang menunggang sebuah motosikal.

Beliau berkata, suspek memaklumkan mahu membeli rokok dan air minuman sebelum membuka peti sejuk dan mengambil air minuman.

“Suspek kemudian menghampiri mangsa yang berada di kaunter lalu menunjukkan sebilah pisau yang diselit di pinggangnya sambil mengarahkan mangsa mendiamkan diri.

“Bimbang dicederakan, mangsa hanya mampu melihat suspek mengambil lima tabung derma membabitkan kerugian hampir RM500 hasil kutipan untuk tiga bulan sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baharudin berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemeriksaan mendapati kawasan itu agak sunyi walaupun terletak di tepi jalan utama.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392, Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *