TANAH MERAH: Malang berganda menimpa seorang wanita yang mengalami masalah mental apabila dia disahkan menghidap penyakit saraf sebelum lumpuh dan hanya mampu terlantar di katil sejak enam bulan lalu.
Safwati Mamat, 41, berubah perangai menjadi kebudak-budakan selepas melahirkan anak ketiga, 11 tahun lalu sebelum masalah mentalnya itu semakin teruk sejak empat tahun lepas.
Awal tahun ini, dia disahkan mengalami masalah saraf sehingga lumpuh seluruh badan dan kini hanya bergantung kepada ibunya, Bidah Awang Hamat, 70, atau Mok Dah yang menguruskan kehidupan hariannya..
Menurut Bidah, ketika masih normal, Safwati bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang dan pernah berkahwin dua kali.
Dengan bekas suami pertama, dia melahirkan dua anak masing-masing berusia 19 tahun dan 20 tahun manakala dengan suami kedua mempunyai seorang lagi anak, Nur Aina Balqish Hafiza Abdullah, 11, dan mula mengalami gangguan mental.
Safwati hilang tempat bergantung apabila suaminya itu meninggal dunia empat tahun lalu dan tugas menjaga wanita itu kini diambil alih Bidah.
“Sebelum ini, dia masih boleh menguruskan kehidupan sendiri walaupun berperangai seperti budak-budak cuma badannya sering menggigil dan bergoyang ketika berjalan.
“Bagaimanapun, enam bulan lalu, dia dijumpai terbaring di bawah pokok. Sejak itu, dia sudah tidak boleh berjalan dan hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Bukit Panau di sini, semalam.
Selain menguruskan Safwati, Mok Dah juga menjaga Nur Aina Balqish manakala dua lagi anak Safwati dijaga bekas suami pertamanya.
Menurut Bidah, dia tidak lagi menoreh getah bagi menampung kehidupan mereka tiga beranak sebaliknya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.
“Saya sudah semakin tua, kudrat makin sedikit. Saya cuma harapkan ada pihak bantu buat bilik air atau katil khas supaya tidak perlu menolak anak setiap kali dia mahu mandi atau buang air. Itu pun sudah memadai,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Agrobank Bidah Awang Hamat, 2001671000112840 atau menghubungi jirannya, Mawarni Mat Yusoff di talian 017-9418814.
Kredit : Utusan Online