Kelantan teliti cadangan wujud pusat pengumpulan sayur

 

TUMPAT – Kerajaan negeri Kelantan sedang meneliti cadangan pihak pembekal untuk mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran dalam usaha menyelesaikan lambakan bahan mentah itu di pasaran.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, kawasan yang dikenal pasti berlaku lambakan sayur di negeri ini adalah di Lojing, Gua Musang.

“Perkara itu (pusat pengumpulan sayur) akan dilihat dan diteliti semula bagi menentukan sama ada sesuai atau sebaliknya.

“Kita cuba kenal pasti kawasan yang berpotensi dahulu untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya selepas mengadakan lawatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di Kampung Kutan Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad, lambakan sayur-sayuran mungkin berlaku disebabkan ada sesetengah kawasan berhampiran Cameron Highlands kini dikenakan PKPD.

Katanya, sebelum ini, kebanyakan sayur-sayuran yang tidak laku di pasaran akan ditempatkan di kawasan pengumpulan di Blue Valley, di Cameron Highlands.

“Kita perlu mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara berhubung perkara ini terlebih dahulu.

“Sekiranya sesuai, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dalam usaha mengelakkan lambakan sayuran di pasaran,” katanya.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *