KUALA TERENGGANU: Kerajaan meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus imuniti berkelompok di pantai timur sebelum kedatangan musim tengkujuh, Oktober depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika ini usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kelantan, Terengganu dan Pahang sedang giat dijalankan termasuk penghantaran lebih banyak bekalan vaksin ke negeri berkenaan.
“Beberapa hari lalu kita melakukan kunjungan ke Pantai Timur bertemu menteri besar di samping Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) dan kita menyasarkan untuk menyelesaikan 80 peratus imuniti kelompok di tiga negeri berkenaan sebelum Oktober.
“Kita tidak mahu nanti ada kluster yang berpunca di pusat pemindahan kerana Kelantan, Terengganu dan Pahang biasa berdepan banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau program perintis pusat pemberian vaksin (PPV) masjid di Masjid At-Taqwa di Durian Burung di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Amzad, lebih banyak masjid di seluruh negara akan dijadikan PPV untuk memudahkan lagi penduduk setempat menerima suntikan vaksin Covid-19 sekali gus memberi lebih keyakinan kepada kalangan orang Islam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, seramai 16,000 individu dijangka menerima suntikan vaksin dalam sebulan di ppv masjid di negeri ini bermula bulan depan.
“Sebelum ini ada tohmahan vaksin musuh Islam, jadi dengan adanya PPV di masjid, kita berharap orang ramai lebih yakin untuk menerimanya, malah kita juga akan membuat prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan PPV masjid.
“Di Terengganu, Jabatan Kesihatan negeri akan membuka satu PPV masjid di setiap daerah dengan seramai 500 penerima akan disuntik setiap hujung minggu,” katanya.-
Kredit : Utusan Online