Petani buang 200 tan metrik sayur sehari

KOTA BHARU – Lambakan sayur yang tidak dapat dijual semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini menyebabkan 200 petani di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang terpaksa membuang sehingga 200 tan metrik sayur sehari.

Mereka hanya mampu berputih mata kerana perlu berdepan kerugian besar yang dianggarkan mencecah hingga RM400,000 setiap hari selepas membuang sayur-sayuran itu.

Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) mendesak kerajaan meluluskan cadangan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran sayur dari kawasan tersebut.

Timbalan Pengerusi PPSBL, Yusup Abd. Rahamam berkata, pembinaan kompleks bernilai RM30 juta seluas lapan hektar itu sehingga kini belum dimuktamadkan sedangkan ia mampu menyelesaikan masalah lambakan sayur kritikal dialami mereka ketika ini.

“Cadangan ini sudah dibuat kepada Lembaga Pemasaran dan Pertanian (FAMA) pada Oktober tahun lalu lagi selepas kita berdepan masalah lambakan sayur apabila seluruh negara dikenakan PKP Mac tahun lalu.

“Setakat ini, Kelantan masih belum ada pusat pengumpulan seperti itu yang boleh menyelesaikan masalah ini bagi menguruskan pemasaran sayur-sayuran keluaran Lojing di luar Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Kerajaan negeri Kelantan sedang meneliti cadangan pihak pembekal untuk mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran dalam usaha menyelesaikan lambakan bahan mentah itu di pasaran.

Kredit : Kosmo! online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *