Penganggur miliki heroin, pil kuda ditahan polis

PASIR MAS – Polis merampas 20 botol kecil yang mengandungi dadah dipercayai jenis heroin bernilai RM40,000 selepas menahan seorang lelaki berhampiran sebuah rumah di Kampung Batu Karang, Rantau Panjang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal pada pukul 3.15 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam raga motosikal itu membawa kepada penemuan semua dadah itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Bagaimanapun, semakan terhadap suspek yang merupakan penganggur didapati mempunyai rekod jenayah lampau kerana membuat laporan palsu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku dia masih mempunyai dadah jenis pil kuda di kawasan rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, berpandu arah daripada suspek, polis melakukan pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan di Cabang Empat Salam, Gual Periok di sini kira-kira 15 minit kemudian.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menjumpai satu beg pinggang berwarna coklat mengandungi sebanyak 130 biji pil kuda yang dianggarkan berjumlah RM1,3000.

Ujarnya, suspek turut mengaku pil-pil yang dirampas adalah miliknya dan usaha mengesan pembekal bahan terlarang itu sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kredit:  Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *