Pertimbang lanjut masa operasi premis

 

JELI: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran membenarkan operasi sektor ekonomi tertentu dilanjutkan sehingga pukul 10 malam, berbanding 8 malam di seluruh negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kebenaran melanjutkan tempoh masa operasi premis seperti kedai makan antara permohonan paling popular ketika ini.

“Pagi tadi pun kita ada perbincangan dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) beberapa permohonan, paling banyak ialah dilanjutkan masa (premis beroperasi). Selain itu, hal-hal berkaitan moratorium, bekalan makanan dan bantuan seperti subsidi upah dan lain-lain.

“Perkara  ini akan diuruskan MKN (Majlis Keselamatan Negara) berpandukan nasihat KKM (Kementerian Kesihatan). Setakat ini belum ada keputusan tetapi kita faham keperluan kenapa perlu lanjutkan masa (operasi) dan sedang dipertimbang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.

Dalam tempoh sekatan pergerakan penuh atau total lockdown ketika ini, premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Pelbagai pihak mendesak kerajaan meneliti semula peraturan itu, memandangkan proses vaksinasi berjalan lancar dan imuniti kelompok dijangka dapat dicapai mendahului tempoh masa ditetapkan, di samping kes positif Covid-19 yang sudah mula menurun di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, dalam mengendalikan krisis Covid-19, kerajaan perlu membuat pertimbangan sebaik mungkin dengan mengambil kira suara semua pihak.

“Sekarang ada dua pihak bercanggah pandangan. Satu kumpulan kata dengan kes Covid-19 masih tinggi, kerajaan patut perketatkan, manakala satu lagi kumpulan yang sudah tertekan minta longgarkan kerana kehidupan mereka sudah terjejas teruk dalam masa 15 bulan ini.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu lihat pelbagai sudut bagi membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira semua kepentingan, sama ada dari sudut kesihatan atau ekonomi,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *