Empat beradik albino silau ketika di luar rumah tular

 

PASIR MAS – Video menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan empat beradik menghidap penyakit albino termasuk dua daripadanya merupakan pasangan kembar yang mengalami silau penglihatan mereka kini tular sehingga mencecah lebih 1 juta tontonan, sejak semalam.

Video yang dimuat naik oleh sepupu kanak-kanak berkenaan, Muhd. Faisal Mohd. Yusof, 18, memaparkan kehidupan Muhammad Adam Haris Zawawi, 7, Muhammad Azim Hafiz (6), Muhammad Aiman Haziq dan kembarnya, Muhammad Amirul Haziq (4) di kampung mereka di Kampung Jejulok di sini.

Ibu mereka, Suzita Zakaria,37, berkata, video mengenai anak-anaknya itu sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada masyarakat agar menerima secara terbuka kehadiran anak-anak albino.

Menurutnya, penerimaan itu amat penting bagi memastikan mereka yang menghidap albino tidak terpinggir dan boleh menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

“Pada peringkat awal, penduduk setempat dan orang ramai sukar untuk menerima kehadiran anak-anak saya ini. Alhamdulillah, semuanya sudah berubah sehingga mereka kini sering menjadi tumpuan ramai,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Suzita dan empat cahaya mata istimewa itu menerima kunjungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold, Murtadhatumizi Mustapha yang menyampaikan sumbangan telefon pintar untuk kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada Muhammad Adam Haris yang merupakan murid tahun satu.

Suzita memberitahu, sebelum melahirkan empat cahaya mata istimewa itu, dia sudah mempunyai tiga orang anak yang normal seperti orang lain.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat yang memaparkan gelagat empat beradik Albino bersama sepupu mereka apabila tidak dapat membuka mata akibat silau ketika berada di luar rumah.

Video itu kini sudah mencecah sehingga lebih 1 juta tontonan itu secara tidak langsung memberi maklumat mengenai ciri-ciri pesakit albino iaitu penglihatan mereka silau ketika berada di luar selain kulit mereka berwarna putih.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *