Pelan pemulihan negara satu harapan baharu – PM

 

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kerajaan adalah satu harapan baharu sebagai pelan usaha yang bakal dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun akan datang.

Sebagai Perdana Menteri, beliau amat berbangga melihat kecekalan dan semangat juang begitu tinggi semua pihak dan seluruh rakyat saling membantu serta memberikan apa sahaja yang boleh dilaksanakan untuk membela nasib rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bukan sahaja mereka yang sakit atau barisan hadapan yang berjuang siang malam tidak henti-henti, tetapi rakyat jelata seluruhnya, membantu mereka yang miskin terkesan dengan masalah pandemik ketika ekonomi agak teruk.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan telah dan akan melakukan apa sahaja kerana sistem kesihatan awam masih kekal tegak berdiri dan belum lagi runtuh.

“Usaha yang telah diberikan kerajan dan bantuan pelbagai pihak serta sumbangan daripada pihak-pihak badan sukarela seluruh negara, maka hari ini kita telah memulakan fasa pertama melalui proses pemulihan negara,” katanya.

Beliau berucap selepas menyertai Program Mega Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berselawat yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1, pagi ini.

Selain pemimpin-pemimpin negara, ribuan rakyat dan pesakit yang dirawat di PKRC turut menyertai selawat dan doa bagi memohon pertolongan kepada Allah agar negara dapat keluar daripada wabak itu.

Muhyiddin berkata, pastinya dengan doa memohon kepada Allah, semua mengharapkan segala apa yang dilakukan akan mendapat barakah dan syafaat serta memberikan semangat dan dorongan untuk mengharungi cabaran besar yang telah dan sedang dihadapi.

Menurut Perdana Menteri, pada masa sama, ia boleh memberikan kekuatan dan semangat baru, keimanan yang lebih teguh kepercayaan kepada kuasa Allah.

“Dengan usaha dan doa yang telah kita sampaikan tadi, maka kita mengharapkan dalam satu tempoh tidak berapa lama lagi kita akan terkeluar daripada wabak.

“Berkat usaha yang telah dan terus dilaksanakan kerajaan dan didokong ribuan barisan hadapan bersama pembantu badan sukarela dan ketekunan rakyat yang terjangkit Covid-19 bersama berjuang dengan usaha doktor dapat kembali pulih balik ke pangkuan masyarakat hidup seperti sedia kala.

“Pastinya doa kita akan pertingkatkan lagi dan semangat juang kita, jangan kita rasa lemah, jangan rasa mahu berundur atau tunduk kepada apa-apa cabaran berat yang sudah pun dihadapi negara,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *