Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris dalam talian bantu murid Parlimen Jeli

 

PUTRAJAYA – Seramai 180 murid daripada 21 buah sekolah dalam Parlimen Jeli telah menyertai program kelas tuisyen Bahasa Inggeris dalam talian yang dilancarkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Tanah Merah, Majlis Guru Besar Jeli dan Pejabat Ahli Parlimen Jeli yang bermula Jun sehingga Oktober ini.

Menurutnya, kumpulan pertama yang membabitkan seramai 90 murid dari lapan buah sekolah telah memulakan kelas mereka hari ini manakala kumpulan kedua yang disertai 90 murid dari 13 buah sekolah akan memulakan kelas mereka esok.

“Kelas tuisyen ini diadakan untuk meningkatkan penguasaan serta kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris sekaligus dapat menggunakannya sebagai bahasa kedua dalam pertuturan seharian.

“Di samping itu, penumpuan juga akan diberikan dari sudut tatabahasa dan penulisan. Kelas tersebut akan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis pelancaran secara dalam talian itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Jeli, Abd Halim Ibrahim, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah, Nik Muhamad Nik Lib, Pengerusi Majlis Guru Besar Jeli, Abd Rahim Haron, Setiausaha Program Kelas Tuisyen Jeli, Muhamad Shukri Hassan, Tenaga Pengajar, Che Rumaizah Hussein serta 90 murid dari kumpulan pertama bersama ibu bapa.

Mustapa berkata, kelas tuisyen ini merupakan kesinambungan kepada Tuisyen Darul Falah yang dilaksanakan sejak tahun 1995 dan mempunyai lebih 5,000 alumni.

Katanya, Tuisyen Darul Falah memberikan tumpuan khusus kepada penguasaan Bahasa Inggeris.

“Ini merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) yang dilaksanakan bagi melengkapi kelas yang diadakan oleh pihak sekolah.

“Dalam masa sama, satu kaji selidik akan diadakan dalam kalangan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai PDPR, penggunan peranti seperti telefon pintar atau komputer riba dan liputan internet di kawasan mereka,” katanya.

Tambah beliau, usaha untuk meningkatkan liputan internet di Jeli sedang dilaksanakan dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah meninjau 13 lokasi yang menghadapi masalah liputan.

“Antara tindakan yang telah dilaksanakan ialah membina menara komunikasi di Kampung Rabbana, Jeli dan ia telah siap untuk digunakan.

“Tindakan-tindakan susulan sedang dilaksanakan oleh SKMM di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.

Beliau berharap kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bagi meluaskan liputan internet yang berkualiti dilaksanakan segera sekaligus menjadikan Jeli sebagai contoh pembangunan digital kawasan luar bandar.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *