4,000 keluarga terima bantuan bakul makanan

 

GUA MUSANG: Sebanyak 4,000 bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang tinggal di kawasan setinggan dan kampung tradisional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, bantuan tersebut merupakan sumbangan peribadinya bersama beberapa pihak dan kerajaan negeri Kelantan untuk membantu mereka yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, kaedah pengagihan bantuan itu dilakukan secara pandu lalu di Pusat Khidmat ADUN Galas dan di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan penduduk mengambil bakul makanan.

“Kebanyakan mereka hilang punca pendapatan kerana bekerja kilang, buruh kampung, pembantu kedai dan peniaga kecil-kecilan.

“Sebanyak RM200,000 diperuntukkan dan keluarga berkenaan menerima lapan barangan keperluan asas termasuk beras, telur, gula, gandum serta minyak masak yang mana keperluan itu dapat menampung bekalan makanan lebih seminggu,” katanya ketika ditemui di Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di sini hari ini.

Salah seorang penerima, Muziera Che Mamat, 36, berkata, pendapatannya sebagai pembantu kedai makan terjejas sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Menurut ibu tunggal kepada enam anak itu, dia kini terpaksa berjimat cermat menggunakan semua duit simpanan yang ada bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Saya terpaksa masuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mencari duit perbelanjaan ketika PKP ini.

“Saya bersyukur kerana menerima bantuan ini dan berharap agar wabak Covid-19 ini segera berakhir supaya saya dapat bekerja dan mencari rezeki semula,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *