Petani, penternak dan nelayan perlu segera divaksin

 

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mencadangkan kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kumpulan tersebut juga termasuk dalam kumpulan  barisan hadapan kerana terlibat dalam  industri makanan negara.

Menurut beliau,  MAFI sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) namun belum mendapat keputusan.

“Sehingga 2019, seramai 649,719 petani, penternak dan nelayan yang berdaftar dan ada antara mereka sudah menerima suntikan vaksin menerusi program imunisasi peringkat komuniti.

“Bukan hanya kakitangan agensi berkaitan, malah penternak,  petani dan nelayan adalah mereka yang tidak terkecuali kerana masing-masing ada tugas sendiri dalam memastikan rantaian makanan berterusan.

“Kita harus menyegerakan suntikan kepada barisan hadapan ini kerana mereka selalu turun padang berdepan dengan masyarakat dan terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang masih menular,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Seminar Pengembangan Pertanian Kebangsaan 2021 secara talian di Jabatan Pertanian, Jalan Lundang di sini hari ini.

Che Abdullah berkata, pihaknya membuka bilik gerakan untuk memantau masalah yang dihadapi  golongan petani, penternak dan nelayan sepanjang  tempoh total lockdown ini.

“Kita juga ada menyediakan kaunter untuk membantu  golongan terbabit mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin.

“Saya menyeru golongan petani, penternak dan nelayan agar segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin bagi mengelak sebarang jangkitan Covid-19 apabila mereka berada di lapangan, ” ujarnya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *