Bisnes di Bazar Tok Guru lingkup

 

KOTA BHARU: Situasi puluhan peniaga di Bazar Tok Guru di sini yang tidak beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan bukan lagi ‘nyawa-nyawa ikan’, sebaliknya boleh dikatakan sudah ‘lingkup’.

Ini kerana rata-rata peniaga terbabit bergantung sepenuhnya dengan aktiviti berniaga pakaian dan pelbagai barangan lain bagi menyara keluarga masing-masing dan sejak dua bulan lalu, punca rezeki mereka terputus terus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga telekung dan batik sarung, Wan Ramlah Wan Isa, 47, berkata, selepas PKP kali pertama Mac tahun lalu, perniagaannya terjejas teruk kerana bilangan pengunjung yang merosot mendadak.

Sejak itu, katanya, perniagaan yang dibuka bersama suami, Mohd. Azman Mohd. Sultan, 47, dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan terus merudum hingga tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.

“Kemudian apabila PKP mula dilaksanakan di Kelantan sejak awal Ramadan lalu, kami hilang terus punca pendapatan sampailah sekarang apabila sekatan pergerakan penuh dibuat dan dilanjutkan pula sehingga hujung bulan ini.

“Kami kini bukan sahaja lingkup, malah rugi RM5,000 gara-gara stok telekung solat dan batik sarung yang diambil sejak Ramadan lalu tidak terjual hingga sekarang selain tunggakan bayaran sewa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kota, di sini, semalam.

Wan Ramlah berkata, keluarganya pernah cuba bangkit dengan cara berniaga ayam panggang dalam talian namun kekangan total lockdown menyebabkan mereka tidak lagi boleh membuat penghantaran ke rumah pelanggan.

“Orang kata boleh guna Foodpanda atau GrabFood tetapi kami hanya peniaga makanan secara sambilan, manalah mampu nak bayar caj perkhidmatan mereka,” katanya.

Peniaga kerongsang, Zuraini Arifin, 44, pula berkata, dia mampu meraih RM100 sehari sejak mula berniaga di Bazar Tok Guru pada 2011 namun kini pendapatannya sifar selain berdepan tunggakan bayaran sewa.

“Apabila kami tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, saya terpaksa menjual makanan ringan dan minuman kotak di depan rumah. Sehari dapatlah RM20 untuk tampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong dan Pembekal Bazar Tok Guru, Zainal Othman berkata, bagi meringankan beban ditanggung para peniaga, pihaknya sudah memohon pengecualian bayaran sewa namun belum mendapat maklum balas pihak pengurusan.

“Kami turut memohon moratorium diberikan kepada peniaga terjejas untuk sekurang-kurangnya 10 bulan bermula Jun hingga Mac 2022. Kami juga memohon kerajaan mengagihkan bakul makanan kepada para peniaga,” katanya.

Berbanding negeri-negeri lain, Kelantan menjadi negeri paling lama dikenakan PKP, iaitu sejak awal Ramadan lalu sebelum disambung dengan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sehingga kini.

Kredit : Utusan Online

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *