KPLB bantu kempen vaksinasi negara

 

LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang menggerakkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)  dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) untuk membantu urusan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 dan pengurusan logistik bagi penduduk luar bandar.

Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha itu untuk membantu mereka yang tidak mempunyai alat peranti, kurang mahir atau tiada akses internet termasuk golongan warga emas dan orang kurang upaya  (OKU).

“Kita mencadangkan usaha ini melibatkan bantuan daripada 15,000 buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemaju masyarakat, guru tadika, kakitangan Kemas dan LKW.

“Program pendaftaran vaksinasi ini juga akan memberikan tumpuan kepada golongan warga emas, OKU dan penduduk  Orang Asli di seluruh negara yang masih tercicir berikutan kedudukan tempat tinggal di pedalaman dan tidak kemudahan alat peranti dan akses maklumat,” katanya.

Abdul Rahman berkata kepada pemberita semasa program Misi Vaksinasi Warga Emas & Golongan Kurang Upaya KPLB di Kampung Kuala Kenong dekat sini semalam.

Sempena program itu, Abdul Rahman turut menyaksikan dan beramah mesra dengan seramai 12 warga emas berusia  antara 60 hingga 90 tahun telah mendaftar menerima suntikan vaksin dos pertama daripada kakitangan Jabatan Kesihatan  Lipis di dua buah kampung, iaitu Kampung Kuala Kenong dan Kampung Dusun.

“Program di kedua kampung ini antara perintis kerjasama KPLB dengan Kementerian Kesihatan untuk mengaktifkan  pendaftaran dan suntikan vaksin di kampung termasuk hadir ke rumah bagi kalangan warga emas yang terlantar dan uzur.

“Menerusi cadangan ini, task force KPLB, Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Kemas dan agensi LKW akan menggunakan kemudahan lojistik seperti dewan, balai raya, sekolah tadika, pusat kegiatan Kemas dan sebagainya sebagai  pusat vaksinasi kampung berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, golongan warga emas dan OKU akan dibantu oleh JPKK, kakitangan Kemas dan LKW memandangkan jarak antara kediaman mereka ke pusat vaksinasi yang jauh malah ada yang perlu menggunakan laluan sungai ataupun kenderaan pacuan empat.

“Ini antara usaha terbaik untuk membantu warga emas, OKU dan Orang Asli yang tinggal jauh lebih cepat menerima suntikan apabila pusat vaksinasi berdekatan tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *