Kebakaran hutan paya gambut Dungun semakin merebak

 

DUNGUN – Kebakaran hutan paya gambut berhampiran Kampung Balai Besar di sini sejak kelmarin semakin merebak sehingga 20 hektar pada hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, kebakaran hutan itu cepat merebak berbanding cuma lima hektar semalam berikutan cuaca panas dan kering di daerah ini.

“Seramai 30 anggota bomba dari balai bomba dan penyelamat sekitar Dungun dan Kemaman sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran menggunakan teknik ‘fire break’ dan ‘attack’ (pancuran terus) pada punca api.

“Sukar untuk mendapatkan sumber air bagi memadamkan kebakaran ekoran ketiadaan akses (ke lokasi kebakaran),” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.

Muhammad Basri berkata, sebagai penyelesaian, pihak bomba terpaksa membuka laluan baharu selain mendalamkan tali air menggunakan jengkaut bagi memastikan sumber air untuk memadamkan kebakaran hutan itu.

Tambahnya, pihak bomba turut melakukan pemantauan udara dengan menggunakan dron bagi mengenalpasti lokasi api kebakaran telah merebak di hutan paya gambut berkenaan.

“Setakat ini, 15 hektar daripada kebakaran itu telah berjaya dipadamkan manakala bakinya dijangka selesai dalam tempoh tiga hari lagi.

“Kita tidak menolak kemungkinan kebakaran hutan paya gambut tersebut berpunca daripada aktiviti pelupusan sampah dan sisa industri secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muhammad Basri berkata, siasatan lanjut punca kebakaran akan dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *