10 laluan tikus di sempadan Terengganu dan Kelantan dipantau

Jerteh: Kreatif tetapi menyusahkan. Itu situasi yang boleh menggambarkan tindakan segelintir penduduk yang membuat laluan alternatif baharu semata-mata mahu merentas keluar atau masuk ke negeri ini.

Terbaharu, polis mengesan 10 laluan tikus yang menjadi laluan alternatif bagi penduduk di sempadan Terengganu dan Kelantan untuk melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah di kawasan Panchakan yang bersempadan dengan Pasir Puteh, Kelantan.

Antara laluan alternatif dikesan adalah lorong di kebun buah, kelapa sawit, sawah padi dan kawasan semak yang digemari penduduk di daerah ini untuk merentas negeri atau daerah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kebiasaannya ia digunakan mereka yang bermotosikal dan berjalan kaki untuk pelbagai tujuan yang tidak munasabah.

“Selain alasan mahu berjumpa saudara atau rakan, laluan itu turut digunakan penagih dadah membeli dan mengedar dadah.

“Ini dapat dibuktikan dengan tangkapan satu kes berkaitan pengedaran pil kuda ke Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, 380 kompaun bernilai antara RM1,500 hingga RM10,000 dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh bermula 22 Mei hingga 15 Jun lalu.

“Dalam tempoh sama, seramai 35 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPD,” katanya.

Kredit : Harian Metro

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *