KOTA BHARU – Seramai 95 pelajar di bawah Program Empower ECER telah memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan memperolehi sekurang-kurangnya 5A.
Program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu telah dilaksanakan di enam jajahan iaitu Bachok, Gua Musang, Jeli, Kota Bharu (Ketereh), Pasir Puteh dan Tanah Merah.
Ia melibatkan seramai 1,200 orang pelajar SPM 2020 daripada 36 buah sekolah di semua jajahan tersebut.
Antara program yang dijalankan termasuklah kelas tambahan percuma, program motivasi atas talian serta program khusus dalam meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.
Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Puteh, Mohammad Faisal Amir Rosli berkata, dia amat berterima kasih kepada pihak ECER kerana banyak membantu pelajar-pelajar SPM 2020 terutamanya ketika menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Program Empower ECER ini banyak membantu dalam mengekalkan motivasi kami menerusi program motivasi atas talian.
“Selain itu, pelajar juga akan terus dibimbing dalam memastikan meraka menyambung pelajaran ke saluran yang tepat dan bersesuaian dengan keputusan mereka,” katanya.