Pasaran sayur terlalu perlahan

 

LIPIS: Seorang pengusaha sayur di daerah ini buntu memikirkan keadaan pasaran sayur-sayuran dari ladangnya yang tidak laku sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan penuh bermula awal bulan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norhazrina Abdul Wahab, 35, berkata, permintaan hasil ladangnya turun mendadak sehingga berlaku lambakan kerana kurang diborong peraih berikutan kekurangan permintaan.

“Saya semakin tertekan.  Situasi ini sudah dirasakan sejak awal tahun lagi tetapi sejak awal bulan ini, keadaan semakin parah. Hasil sayuran yang matang tidak boleh dituai kerana tiada pembeli.

“Peraih luar mendakwa susah bergerak berikutan sekatan rentas daerah dan negeri,” katanya di Kampung Kubang Rusa, Merapoh di sini semalam.

Norhazrina memulakan usaha penanaman sayur-sayuran komersial sejak tahun lalu di kawasan seluas 1.2 hektar dan dia adalah antara petani muda berjaya di daerah ini..

Antara tanamannya ialah petola, petola ular, kacang panjang, kacang bendi, timun, labu, lada kulai, labu air, peria besar dan tembikai.

Ketika ini, Norhazrina  cuma mampu memasarkan sayuran antara 200 hingga 300 kilogram sehari dengan memperoleh pendapatan sekitar RM600 berbanding sebelum ini mampu melepasi pulangan melebihi empat angka.

Mengulas lanjut, wanita itu berkata, senario itu menyebabkan tiada keuntungan diperoleh kecuali hanya pulang modal.

“Pasaran jadi lembab susulan banyak premis makanan tutup selain kesan sekatan pergerakan menyusahkan pemborong untuk datang ambil,” katanya.

Katanya, masalah sama  turut dialami pengusaha komersial di tempat lain selagi tempoh penguatkuasaan total lockdownberterusan termasuk sekatan rentas daerah dan negeri.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *