Kadar vaksinasi negara cecah hampir 200,000 dos sehari – PM

 

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kadar vaksinasi sudah mencecah hampir 200,000 dos sehari.

Beliau berkata, ini selepas kadar vaksinasi mencecah sebanyak 197,963 dos semalam.

Katanya, jumlah itu berjaya dicapai berikutan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak serta pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak.

“Pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kadar vaksinasi adalah sekitar 5,000 hingga 8,000 dos sehari dan telah meningkat ke 50,000 hingga 80,000 sekitar bulan Mei.

“Malah semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas secara langsung, hari ini.

Muhyiddin turut mendedahkan, kerajaan bukan sahaja sudah berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua petugas barisan hadapan, malah lebih 50 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun.

“Kita akan terus mengutamakan golongan rentan Covid-19 yang lain seperti mereka yang mempunyai komorbiditi, dan seterusnya mereka yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan positif berhubung kadar vaksinasi harian memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan bersama.

“Ini kerana, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik, insya-Allah.

“Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan, saya percaya jumlah kes harian Covid-19 akan terus mencatatkan penurunan,” katanya.

Tambahnya, pengalaman negara-negara lain yang telah meningkatkan kadar vaksinasi di negara masing-masing juga telah menunjukkan penurunan kes-kes harian baharu yang ketara.

“Ini pastinya akan memudahkan kita untuk melaksanakan pelan pemulihan negara yang komprehensif,” katanya. –

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *