JELI: Lebih tiga tan daun ketum dianggarkan bernilai RM31,300 yang dimuatkan dalam dua lori dirampas di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata semua daun ketum yang dibawa dari utara Semenanjung itu adalah untuk pasaran Kota Bharu dan Tanah Merah.
Penahanan lori pertama dari arah Gerik, Perak dibuat pada jam 1 tengah hari semalam oleh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jeli bersama anggota yang bertugas di SJR berkenaan yang melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Lori itu dinaiki dua lelaki dan pergerakan mereka mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas tujuan membekalkan makanan kucing.
“Bagaimanapun pemeriksaan di bahagian belakang mendapati 41 bungkusan beg plastik hitam yang mengandungi gulungan plastik cerah berisi daun ketum berjumlah 410 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM4,100.
“Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua mereka positif methampethamine dan pemandu yang berusia 35 tahun mempunyai satu rekod lampau manakala kelindan berusia 29 tahun pula empat rekod lampau masing-masing bersabit dadah,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ahmad berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(30 Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Rampasan kedua pula dilakukan di SJR sama iaitu pada jam 2.05 petang terhadap sebuah lagi lori yang mana bahagian belakangnya ditutup dengan sejumlah kotak berisi makanan ringan.
Ahmad berkata, bagaimanapun sebaik pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui 272 bungkusan plastik hitam yang mengandungi gulungan plastik cerah berisi daun ketum sebanyak 2,720kg yang dianggarkan bernilai RM27,200.
“Pemandu berusia 39 tahun itu gagal mengemukakan dokumen rentas daerah atau negeri dan dia dikompaun RM3,000 untuk kesalahan itu. Suspek juga ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Sekyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 45 kompaun dikenakan atas perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan kesalahan rentas daerah atau negeri.
Sebanyak lima kertas siasatan dibuka untuk kesalahan rentas daerah dan negeri yang mana kebanyakannya dilakukan oleh individu daripada luar Jeli.
“Dari segi pematuhan SOP pula, kita dapati masyarakat di daerah sangat patuh dan memberi kerjasama yang baik manakala untuk kesalahan rentas daerah atau negeri pula berjaya dikesan disebabkan geografi daerah ini yang dilitupi hutan dan tiada laluan alternatif atau lorong tikus untuk membuat merentas kawasan menyebabkan mereka seakan mencuba nasib,” katanya.
Kredit : Berita Harian