Covid-19 di Kelantan reda, dua PKRC ditukar jadi standby mode

 

KOTA BHARU: Kemasukan pesakit Covid-19 ke dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini dihentikan sementara, susulan penurunan kes jangkitan pandemik tersebut di Kelantan ketika ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Zurairie Mohd. Zubir berkata, dua PKRC tersebut ialah PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat yang kini menempatkan 120 pesakit dan PKRC SMK Salor yang masih merawat 80 pesakit.

“Bermula hari ini, kita tidak akan menerima pesakit baharu di kedua-dua PKRC itu. Selepas baki 200 pesakit yang masih dirawat di dua PKRC itu sembuh, kita akan menutup sementara pusat kuarantin tersebut.

“Kedua-dua PKRC itu akan berstatus ‘standby mode’ sekiranya berlaku semula peningkatan kes pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zurairie berkata, mengambil kira faktor pandemik yang masih wujud, kedua-dua PKRC itu tidak boleh ditutup sepenuhnya lagi.

“Setakat ini, Kelantan mempunyai sebanyak 16 PKRC dan kemasukan pesakit agak terkawal memandangkan kes semakin menurun.

“Dianggarkan seramai 1,330 pesakit ditempatkan di kesemua PKRC di negeri ini. Penggunaan katil di PKRC Kelantan turut menunjukkan penurunan apabila hanya 60 hingga 70 peratus daripada kapasiti penuh,” katanya.

Katanya, petugas di kedua-dua pusat kuarantin  yang bakal ditutup sementara itu akan dipindahkan ke PKRC Tanjong Chat, di sini yang masih menerima kemasukan pesakit Covid-19.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 179 kes baharu jangkitan Covid-19 semalam dan jumlah itu penurunan berbanding kelmarin iaitu 337 kes.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *