Kerajaan negeri serius, komited pulih Tasik Chini

KUANTAN: Kerajaan negeri komited dan serius memulihkan Tasik Chini di Pekan, dekat sini yang diisytiharkan sebagai Rezab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pada 13 Mac 2019, kerajaan negeri bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.

Beliau berkata, bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini, kerajaan negeri juga bersetuju ‘tiada kelulusan baharu’ untuk melombong di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Jelasnya, operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat serta perlu mengemukakan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

“Kebenaran itu tentunya bukan mudah dan perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Kuasa kerajaan negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.

“Ia bermaksud, kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan. Pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, pada 2019, kerajaan negeri meluluskan peruntukan Projek Tanam Semula berjumlah RM250,000 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong di Tasik Chini Ini. 

Katanya, pada 9 Jun lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini sehingga kini dikategorikan bersih berdasarkan pemantauan yang dilakukan jabatan berkenaan.

Jelasnya, ia berdasarkan pemantauan bermula 2005 dan sejak Tasik Chini dianugerahkan status BR oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh KeTSA.

“Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan, dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.

“Parameter-parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe). Walaubagaimanapun kita juga sememangnya mempunyai bacaan parameter-parameter yang lain.

“Secara umumnya didapati bahawa, data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih,” katanya.

Beliau berkata, usaha pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini telahpun dimulakan dan tentunya proses itu akan mengambil masa agak panjang dalam usaha memastikan Tasik Chini kembali pulih.

“Dalam tempoh itu, agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Perhutanan akan terus membuat pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti perlombongan di Tasik Chini,” katanya. –

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *