Kelantan buka PPV sementara di masjid, surau

 

KOTA BHARU – Enam buah rumah ibadat umat Islam iaitu masjid, surau dan pondok di Kelantan dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara untuk kemudahan masyarakat setempat menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, keenam-enam buah rumah ibadat itu hanya dijadikan PPV sementara dalam tempoh lima hari bermula hari ini bagi menampung jumlah penerima vaksin dos pertama di PPV ketika ini.

Katanya, jika mendapat sambutan yang menggalakkan, JKNK berkemungkinan akan melanjutkan tempoh pembukaan PPV sementara sehingga 21 hari untuk penerima suntikan dos kedua selepas ini.

“Bagi PPV Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini, kita menganggarkan seramai 250 penerima dalam sehari kerana kapasiti masjid itu besar. Selain itu, Masjid Kampong Banggol di sini juga dijadikan sebagai PPV sementata.

“Meskipun PPV sementara ini dijalankan di rumah ibadat, ia tidak terhad kepada umat Islam. PPV ini terbuka kepada orang ramai yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin di kawasan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di PPV sementara Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi.

Kredit : Kosmo! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *