TUMPAT: Isu bekalan gelang merah jambu didakwa tidak mencukupi ketika ujian calitan COVID-19 diadakan untuk penduduk Kampung Kutan Tengah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, timbul berikutan penduduk dari dua perkampungan berhampiran turut hadir menjalani saringan itu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin ketika menjelaskan perkara itu berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 1,000 gelang merah jambu bagi menampung keperluan penduduk Kampung Kutan Tengah berjumlah 990 orang, pada sesi ujian calitan itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kutan, bermula kelmarin hingga semalam.
“Bagaimanapun, penduduk yang hadir bukan saja dari Kampung Kutan Tengah tetapi juga Kampung Kutan Hilir dan Kutan Hulu.
“Hingga kini, seramai 1,198 individu hadir menjalani ujian calitan, termasuk 208 dari dua perkampungan berhampiran itu yang tidak terbabit PKPD.
“Kami memang ada senarai nama penduduk dalam lokaliti PKPD. Apabila mereka datang beramai-ramai, kami tetap menjalankan ujian calitan yang menyebabkan gelang merah jambu tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Namun, Dr Zaini berkata, masalah itu berjaya diselesaikan segera dengan penambahan gelang berkenaan.
Isu kekurangan gelang merah jambu itu tular apabila ada pihak membangkitkannya melalui hantaran dalam laman sosial, malah mendakwa PKPD di kawasan terbabit tidak ditangani secara serius.
Mengulas lanjut, Dr Zaini memaklumkan setakat semalam, 20 individu dikesan positif COVID-19, termasuk dari luar lokaliti PKPD Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu.
Bagi PKPD di Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor pula, seramai 792 daripada keseluruhan 1,357 penduduk, sudah menjalani ujian calitan dengan seorang dikesan positif COVID-19.
Beliau berkata, ujian calitan diteruskan, hari ini, berikutan masih ramai penduduk lokaliti berkenaan masih belum disaring.
“Kita juga mendapatkan bantuan daripada pemimpin setempat dan agensi berkaitan untuk kelancaran proses ujian calitan membabitkan hampir separuh lagi penduduk Kampung Ketil,” katanya.
Kredit : Berita Harian