Hospital Kanak-kanak UKM bantu rawat pesakit Covid -19

 

PUTRAJAYA: Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal beroperasi merawat pesakit Covid-19 bermula minggu hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengoperasian HPKK UKM sebagai sebuah hospital Covid-19 adalah susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang ditandatangani beliau pada 4 Jun lalu.

Menurut beliau, melalui kedua-dua seksyen itu, Kementerian Kesihatan boleh mengambilmilikan sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah dengan adanya HPKK UKM ini, Kementerian Kesihatan mempunyai fasiliti tambahan untuk menguruskan pesakit-pesakit Covid-19 yang kritikal dari kawasan sekitar Lembah Klang.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa langkah-langkah seperti kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ordinan Darurat ini adalah penting untuk menentukan supaya sistem kesihatan kita tidak runtuh sewaktu situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan terus komited membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kita dapat meneruskan fungsinya pada tahap yang optimum sejak bermulanya pandemik ini sehinggalah sekarang.

Beliau pada masa sama berkesempatan melihat proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di HPKK UKM yang dioperasikan secara bersama dengan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Insya-Allah semoga usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang disasarkan, ” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *