Covid-19: Kes sembuh harian tertinggi hari ini

 

PUTRAJAYA: Kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 yang direkodkan sebanyak 7,749 hari ini adalah yang tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan sebanyak 563,779.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada masa sama sebanyak 6,849 kes positif baharu COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 78,864.

Angka terbaharu positif itu menjadikan jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia setakat ini sebanyak 646,411.

Selangor mencatatkan 2,558 kes hari ini, disusuli Kuala Lumpur dengan 884; Sarawak (699) dan Negeri Sembilan (685).

Empat daripada kes yang direkodkan hari ini membabitkan kes import manakala 6,845 jangkitan tempatan.

Sebanyak 912 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 458 memerlukan bantuan pernafasan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan sebanyak 84 kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 3,768,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes kematian hari ini membabitkan 19 di Selangor, 12 di Sarawak, Labuan (8), masing-masing tujuh kes di Johor dan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (9), masing-masing enam kes di Pahang dan Sabah, Terengganu (3), Melaka (2), serta masing-masing satu kes di Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, dan Kedah.

Selain itu, sebanyak 16 kluster baharu dikesan hari ini membabitkan 12 kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kredit : Berita Harian Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *