Pengamal media Kelantan terima suntikan vaksin

KOTA BHARU : Seramai 31 pengamal media pelbagai agensi yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), menerima suntikan vaksin dos pertama masing-masing hari ini.

Proses suntikan bermula pukul 9 pagi di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Jurugambar Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Zulkarnain Kamaruddin, 48, mengakui bersemangat dan teruja untuk menerima suntikan vaksin dos pertama tersebut.

Menurutnya, pemberian vaksin itu satu penghargaan kepada warga media yang merupakan salah satu kumpulan petugas barisan hadapan atau frontliner ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Kami warga media terdedah kepada jangkitan Covid-19 setiap kali turun ke lapangan terutama di kawasan berisiko tinggi bagi membuat liputan.

“Selepas divaksin, kami menjadi lebih yakin untuk membuat laporan berita kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu wartawan Soon Xue Ning, 34, dari China Press memberitahu, dia berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pengamal media yang sentiasa terdedah kepada penularan Covid-19.

Katanya, inisiatif sama diharap dapat diteruskan kepada pengamal media di negeri-negeri lain.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *