KOTA BHARU: Keterujaan Siti Liah Mamat, 120, dari Kampung Dusun Raja, di sini apabila disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19 hari ini boleh diibaratkan seperti bakal menyambut hari raya.
Malam tadi, warga emas mesra disapa sebagai Nenek Siti itu dikatakan sibuk memilih dan menyusun atur pakaian terbaik serta selipar tercantik untuk dipakai ketika berkunjung ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Cucunya, Nordiana Azman, 32, berkata, nenek tersenarai sebagai penerima vaksin Covid-19 di PPV Kampus Universiti Sains Malaysia USM) Kubang Kerian dan perlu hadir menerima suntikan dos pertama pagi ini.
“Kebiasaan nenek tidur awal, tapi malam tadi dia tidur lewat sampai pukul 11 malam masih berjaga kerana sibuk membuat persiapan pakaian dan selipar yang mana sesuai untuk dipakai.
“Nenek begitu teruja menerima vaksin walaupun usianya sudah melebihi satu abad. Malah ketika ingin mendaftarkan namanya sebagai penerima vaksin dulu pun nenek terus kata setuju,” katanya ke pemberita di PPV itu di sini hari ini.
Sementara itu, Siti yang mempunyai 12 anak, 48 cucu dan 44 cicit memberitahu, dia sukar melelapkan mata kerana tidak sabar untuk ke PPV dan menerima suntikan dos pertama vaksin.
“Saya menyeru orang ramai agar suntik vaksin, jangan takut. Saya sendiri menyuruh cucu daftarkan nama saya kerana kes Covid-19 semakin banyak di Kelantan,” ujarnya.
Ditanya amalannya untuk kekal sihat, Siti memberitahu, dia mengamalkan minum air putih setiap hari selain gemar bersedekah dan sentiasa berdoa supaya dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Sementara itu, Pegawai Perubatan HUSM Kubang Kerian, Dr. Shahrizal Mustaffa berkata, sebagai doktor yang bertugas di PPV, beliau sendiri teruja melihat semangat ditunjukkan warga emas berusia 120 tahun itu untuk menerima vaksin.
Kredit : Utusan Online