COVID-19: Kelantan tidak galakkan ibadah korban

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak menggalakkan ibadah korban dilakukan ketika Aidiladha nanti, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata ia berikutan sekiranya acara korban dilakukan, berlaku aktiviti berkumpulan yang boleh menyebabkan penularan COVID-19.

“Perkara yang kita bimbangkan ialah untuk berhadapan Aidiladha nanti kerana akan berlakunya ibadah korban sekali gus membabitkan aktiviti berkumpulan.

“Sebagai contoh jika ibadah korban membabitkan seekor lembu, sekurang-kurangnya ia akan dihadiri 10 individu untuk acara penyembelihan dan lapah daging.

“Pada masa sama, akan berlaku pergerakan untuk pengagihan lembu korban pula. Semestinya akan berlaku pergerakan yang lebih berbanding Aidilfitiri,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dr Izani berkata, disebabkan kebimbangan itu, pihaknya tidak membenarkan wakil rakyat mengadakan program mega ibadah korban.

“Pada masa sama, kita tidak menggalakkan penduduk di negeri ini melakukan acara korban memandangkan kes di Kelantan masih lagi tinggi.

“Itu yang menjadi kebimbangan kita. Walaupun kes COVID-19 menunjukkan penurunan sejak beberapa hari ini, ita tidak boleh leka dan ianya boleh meningkat bila-bila masa sahaja jika prosedur operasi standard (SOP) diabaikan,” katanya.

Kredit : Berita Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *