Ketua Pembangkang tiba di Istana Negara

 

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara hari ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pembangkang itu dilihat tiba di pekarangan Pintu 2 Istana Negara pada pukul 10.36 pagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Jaguar berwarna hitam.

Beliau adalah pemimpin parti politik kedua sampai di Istana Negara hari ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 7.49 pagi tadi.

Anwar antara pemimpin yang dijemput hadir ke Istana Negara. Selain beliau, pemimpin dijadualkan menghadap Seri Paduka adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilapor bertemu pada hari sama.

Sementara esok (10 Jun), difahamkan pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad akan hadir ke Istana Negara bagi memenuhi undangan Seri Paduka, sementara pemimpin UMNO pula dijadualkan bertemu baginda pada Jumaat (11 Jun).

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tidak dimaklumkan tarikh jemputannya selepas mendapat jemputan pada 4 Jun lalu.

Pemimpin parti-parti politik dilapor dijemput ke Istana Negara bermula hari ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipercayai bagi membincangkan hal berkaitan kepemimpinan kerajaan dan politik semasa.

Sebelum ini, tular berita mengenai jemputan daripada Istana Negara kepada pemimpin-pemimpin politik untuk menghadap Seri Paduka. Siri pertemuan itu dilapor berlangsung bermula hari ini sehingga 11 Jun.

Kredit : Utusan online

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *