RM500 untuk petani, penternak, nelayan positif Covid-19 di Terengganu

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu mengumumkan bantuan pembayaran tunai RM500 secara sekali bayar (one-off) untuk meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang positif Covid-19.

Bantuan ‘one off’ itu akan disalurkan kepada golongan itu melalui jabatan berkaitan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sehingga kini seramai 60 orang warga pertanian dalam pelbagai sektor termasuk peladangan, penternakan dan perikanan disahkan positif Covid-19.

“Bagaimanapun pihak kami melalui semua jabatan terbabit sedang mengumpul data lengkap di setiap daerah dalam usaha memastikan tiada yang tercicir dan terpinggir.

 

“Apabila disahkan positif Covid-19, mereka terpaksa melalui tempoh rawatan dan kuarantin sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan hilang pendapatan, ” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berasa terpanggil membantu warga pertanian yang positif Covid-19 itu dengan pemberian bantuan sagu hati bagi meringankan beban mereka.

“Sumbangan itu tidak besar, tetapi cukup membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa petani di negeri ini kerana Covid-19.

“Kerajaan negeri mengambil serius perkara itu kerana pertanian ialah tarasektor di mana majoriti rakyat Terengganu berkecimpung di dalamnya,” katanya.

Azman berkata melalui insentif itu diharap akan memberi suntikan motivasi kepada warga pertanian di negeri ini untuk terus menjalankan kegiatan pertanian masing-masing apabila sembuh nanti.

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *