Kerajaan Kelantan sumbang RM500,000 kepada HRPZ II

 

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menerima sumbangan RM500,000 daripada kerajaan negeri ini bagi menaik taraf sistem kajian elektrofisiologi di Unit Kardiologi hospital tersebut.

Sumbangan tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob kepada Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin yang mewakili HRPZ II di pejabatnya hari ini dan turut dihadiri Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali.

Menurut Ahmad, dengan menaik taraf sistem itu, rawatan jantung khasnya perkhidmatan elektrofisiologi kepada pesakit dapat diberikan dengan cepat tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan di luar Kelantan.

“Dengan penaiktarafan sistem berkenaan diharap dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung.

“Pada masa sama, kerajaan negeri hari ini juga menyumbangkan enam unit pendingin hawa kepada Pejabat Kesihatan Negeri untuk kegunaan pasukan bergerak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kelantan.

“Program secara mobil ini bergerak masuk ke kampung-kampung dan kawasan tumpuan orang ramai bagi memberi suntikan vaksin kepada rakyat Kelantan,” katanya.

AHMAD (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan penghawa dingin kepada HRPZ II yang diwakili Dr. Zaini di pejabatnya di Kota Bharu hari ini. – Ihsan Pejabat Menteri Besar

Menurut beliau, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu menambah keselesaan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyegerakan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat Kelantan.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan di Kelantan dititikberatkan supaya ia memberikan manfaat yang besar kepada rakyat,” katanya.

Kredit : UTUSAN ONLINE

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *