3,799 keluarga Orang Asli terima bakul makanan

GUA MUSANG: Seramai 3,799 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di negeri ini yang terkesan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di 17 pos penempatan daerah ini mula menerima bantuan bakul makanan yang diagihkan sejak semalam.

Penolong Pegawai Pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, kali ini sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi menyalurkan bekalan kepada masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Katanya, bantuan itu dihantar pihak kontraktor dilantik melalui jalan darat iaitu lori dan kenderaan pacuan empat roda.

“Kita memahami masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di kampung pedalaman hampir kehabisan makanan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Jakoa berusaha menghantar barangan seperti beras, minyak masak, tepung, garam, gula, serbuk teh, sardin, kicap dan bihun dalam tempoh seminggu ini,” katanya selepas melakukan pemantauan kerja-kerja pembungkusan bakul makanan di Bandar Baru Gua Musang di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu sebanyak RM12 juta dibelanjakan bagi bantuan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, bantuan itu membabitkan 60,080 KIR Orang Asli di seluruh negara bagi meringankan beban mereka ketika dalam tempoh sekatan pergerakan penuh kali ini.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *