PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka itu akan terus meningkat berikutan 16 juta dos vaksin Covid-19 bakal tiba dalam tempoh dua bulan akan datang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dijalankan sejak bermula fasa pertama 24 Februari lalu, malah, melepasi sasaran yang ditetapkan.
Menurut beliau, pada permulaan program ini, kira-kira 5,000 hingga 8,000 suntikan vaksin diberikan setiap hari dan kini berjaya meningkatkan suntikan vaksin harian sekitar 100,000 sehari.
“Usaha ini tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.
“Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), vaksinator, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara kita ini berjaya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan beliau memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambah baik program ini dari semasa ke semasa.
Sebagai kerajaan yang prihatin, kata beliau, sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok.
“Saya ingin tekankan, bahawa program vaksinasi Covid-19 ini sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan yang lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya membantu proses menjana semula ekonomi negara.
“Sehingga hari ini, kita telah memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin, dengan lebih dua juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19. Kini, kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kerajaan dan Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain serta bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.
Bagaimanapun, jelas beliau, hasil persediaan awal kerajaan, negara berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah, melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.
Dalam tempoh terdekat ini, beliau diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba selain mengarahkan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin untuk memastikan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelusuk negara bagi mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian vaksin kepada anda semua.
“Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai. Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua.
“Pada masa ini, lebih 280 PPV sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin. Sementara itu, sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telahpun beroperasi,” katanya.
Muhyiddin turut memberitahu, beberapa PPV mega juga diwujudkan dan jumlah itu akan terus ditambah dalam masa terdekat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Penang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin.
Perdana Menteri sendiri melawat beberapa PPV termasuk dua PPV mega iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan MITEC bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin dan dari maklum balas yang diterima, ramai menyambut baik usaha kerajaan untuk vaksinasi rakyat.
“Namun, saya turut menerima cadangan-cadangan konstruktif untuk memperbaiki proses vaksinasi di pusat-pusat itu, dan perkara ini telah saya maklumkan kepada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk diambil tindakan segera.
“Untuk mempercepatkan lagi roll-out program vaksinasi, kerajaan juga telah melibatkan Pusat dan Klinik Perubatan Swasta dalam program vaksinasi kebangsaan ini. Pada penghujung Jun 2021, sebanyak 1,000 Klinik Perubatan Swasta atau PPVGP disasarkan akan terlibat dalam PICK,” katanya.
Kredit : UTUSAN ONLINE