Pahang tambah peruntukan BPP Covid-19 RM9.3 juta

KUANTAN: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM9.3 juta bagi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar fasa dua kepada rakyat yang terputus mata pencarian ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu sebagai bukti keprihatinan dan tanggungjawab serta mengambil berat atas kesusahan rakyat, khususnya dalam menghadapi tempoh sukar ketika ini akibat penularan wabak tersebut.

Menurutnya, BPP Covid-19 bersasar fasa dua masih diberikan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.

“Antara golongan yang akan menerima manfaat di bawah BPP bersasar fasa dua ini seperti pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Turut menerima adalah masyarakat Orang Asli menerusi batin mereka, penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB).

“Selain itu, tidak terkecuali ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta para penggiat seni yang ada di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sebanyak RM17.1 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan BPP Covid-19 secara bersasar di bawah fasa satu dan dua.

“Terdahulu pemberian BPP secara bersasar fasa satu yang saya umumkan 24 Mei lalu dengan peruntukannya sebanyak RM7.8 juta telah pun diagih-agihkan.

“Bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU), dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan diagihkan bermula minggu hadapan,” katanya

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa segala peruntukan yang disediakan adalah berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika

“Bak kata orang tua, ‘sedikit tanda ingat, banyak tanda ada’…. itulah yang diharapkan agar pemahaman rakyat dan penerima terhadap bantuan dan sumbangan yang diberi menerusi peruntukan ini.

“Saya juga telah meminta agar pengagihan BPP Covid-19 secara bersasar fasa dua ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera juga, Insya-Allah,” katanya.

Kredit : UTUSAN ONLINE 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *