‘Masa itu, saya ingat sudah mati’

KOTA BHARU – Seorang mangsa letupan kuat sebuah kereta yang menggegarkan bandar ini pada 21 Mei lalu mendakwa, dia merasakan diri­nya bagaikan sudah mati kerana ketika kejadian itu, kereta Proton Waja dipandunya berpu­sing dan terpelanting sejauh empat meter.

Mohd. Asri Mat Yeh, 50, berkata, kereta yang meletup tersebut berada di sebelahnya ketika mereka berhenti di persimpa­ngan lampu isyarat di Simpang Empat, Kampung Sireh dalam kejadian pada pukul 5.55 petang itu.

“Belum sempat saya hendak memberi amaran, tiba-tiba berlaku satu letupan sangat kuat hingga mengakibatkan kereta saya berpusing dan terpelanting sejauh empat meter di tepi pagar sebuah tadika.

“Masa itu, saya hanya ingat sudah mati. Selepas itu saya merasakan masih lagi mampu berge­rak dan terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri sebelum melihat beberapa lagi kereta di belakang turut terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. ASRI menunjukkan muka dan lengan tangan kanannya yang cedera.
Mengimbau semula kejadian itu, pembantu operasi Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan itu berkata, ketika berhenti, dia ternampak kereta Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa sedang terbakar di sebelah kanan.- Kosmo

Dalam kejadian itu, pemandu Proton Iswara, Wan Hassan Wan Ali, 48, maut dalam keadaan mengerikan apabila badannya berkecai dan tercampak sejauh 20 meter dari keretanya.

Letupan berlaku apabila mangsa membawa mercun bola dalam jumlah yang banyak hingga memenuhi but dan tempat duduk belakang.

Bercerita lanjut, Mohd. Asri memberitahu, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan dari Kampung Kota untuk membeli bara­ngan di sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini.

Ekoran kejadian itu, dia terpaksa menerima 50 jahitan pada bahagian muka selain mengalami kecederaan parah pada pipi, te­linga dan lengan tangan kanan apabila ditusuki serpihan kaca.

“Saya terpaksa dibedah di Hos­pital Raja Perempuan Zainab II, sebelum dibenarkan keluar tujuh hari kemudian,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan badannya masih me­rasa sakit dan telinganya berde­ngung.

Dia kini diberikan cuti sakit dan akan berjumpa pakar muka untuk rawatan pada 9 Jun ini.

Kredit : Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *